Thursday, November 12, 2009

karya puisi sempena MKI...

Dunia

Dunia terhampar luas,
Menanti kita meneroka,
Nikmat Tuhan tidak terhingga,
Apa kita alpa?

Leka sejenak dari matlamat hidup,
Untuk apa kita bernafas,
Untuk apa kita hidup,
Hanya menongkat dunia semata-mata.

Jangan biarkan hiburan menjadi tuhan,
Menyerah segala sisa hidup terhadap kemusnahan,
Apabila sampai detiknya kita sedar dari alpa,
Jangan kita menyalahkan takdir semata-mata.

Dunia penuh dengan cabaran,
Hanya menanti si alpa untuk disesatkan,
Hanya insan yang sedar akan terus berjuang,
Mencari makna kehidupan yang sebenar.

Apa yang kita cari,
Bukan itu yang dihajati,
Berserah kepada yang Maha Esa,
Jangan terus di buai oleh duniawi.

Manusia,
Dunia,
Tuhan sahaja yang mengetahui,
Makna yang tersirat dan sebaliknya.

Nukilan
Muhammad Shahir Bin Sharuddin
CE 090040
(Pemenang Tempat pertama dalam pertandingan menulis puisi (N) sempena MKI)

Monday, November 2, 2009

Selamat Menempuh Peperiksaan Akhir SesiI 1 2009/2010

"kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakal..."
(Ali-Imran:159)






SEMOGA BEROLEH KEJAYAAN DI DUNIA & DI AKHIRAT...

Thursday, October 29, 2009

Selamat Menduduki Peperiksaan...

Salam mahabbah Fillah dan salam perjuangan...

Sedar atau tidak, kita kini sudah berada dekat dengan penghujung musim perkuliahan bagi sesi 2009. Peperiksaan akhir pun akan tiba tidak lama lagi. Entri kali ini, sedikit perkongsian tentang beberapa do’a yang boleh diamalkan apabila menduduki peperiksaan.

Ketika memasuki dewan peperiksaan:
Maksudnya: “Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”

Ketika menerima kertas soalan:
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku tugasku. Dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku, supaya mereka faham perkataanku.”

Ketika sukar menjawab:
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang maha hidup lagi maha berdiri dengan sendirinya. Dengan rahmatMu aku bermohon pertolongan.” ATAU Maksudnya: “Ya Allah! Tidak ada kesenangan melainkan pada perkara yang engkau jadikan kesenangan padanya. Dan engkau menjadikan kedukacitaan dan kesukaran sebagai mudah dan senang jika Engkau kehendaki.”

Jika anda terlupa jawapan:
Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan yang menghimpunkan manusia pada hari yang tiada keraguan padanya. Himpunkan barangan dan maklumat yang hilang daripadaku.”


Cukuplah sekadar do’a-do’a ringkas yang dikongsikan di atas, sekiranya terlalu banyak dan panjang, susah pula untuk diamalkan. Ingatlah, di antara sebab mustajab sesuatu do’a adalah bergantung kepada cara kita berdo’a, dan berbaik sangkalah kepada ALlah s.w.t., kita hendaklah membetulkan niat bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan adalah kerana ALlah, kerana ibu bapa, kerana diri sendiri, dan juga kerana ingin membantu umat islam untuk cemerlang.

Selamat menduduki peperiksaan. Semoga kita semua dipermudahkan oleh Allah s.w.t. untuk menjawab soalan peperiksaan dan seterusnya mendapat keputusan yang cemerlang, amin..







p/s: banyakkan berdoa kepada ALLAH... Jangan tension2 atau rasa give up time exam ni... Ingat janji ALLAH, "sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain), dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap..."(al-insyirah:6-8). Jaga amal, jaga ibadah banyakkan buat solat hajat dan solat tahajjud, jaga pemakanan kalo boleh elakkan makan makanan ringan dan minuman yang berkafein, jaga kesihatan.. Semoga redha dan kasih sayang Allah mengiringi hidup kita semua..





Saturday, October 24, 2009

ISLAM


ISLAM
Islam...
Satu ketika dulu...
Kemenangan mu...dijulang
Kegemilangan mu... dicanang
Keunikanmu... menjadi tunjang peradaban...
Jika dulu...kau dipertahankan para pejuang
Kini... kau hanya di pandang sepi
Dilihat sinis...
Dibiar caci...

Islam...
Mama hilangnya semangat salahuddin...
Mana perginya kebijaksanaan Fateh...
Mana lenyapnya kekuatan Khalid...

Islam...
Umatmu kini kelesuan...
Umatmu kini kelekaan...
Umatmu kini keseronokan...
Dibuai dan dibelai keduniaan...

Namun...
Yakinlah, tika mana Tuhan melunaskan janjinya...
Tika itu...Islam bangkit kembali menawan...


Nukilan
Norazwani Bt Mohd Mashod
CI 090117
(Pemenang Tempat pertama dalam pertandingan menulis puisi (T) sempena MKI)

p/s: InsyaAllah akan diedit dari semasa ke semasa untuk karya yang lain..

Friday, September 18, 2009

Aidilfitri sebagai ibadat...

by Unit Penerbitan BKE


1 Syawal bakal bertamu menggantikan Ramadan yang melabuhkan tirainya sehari dua lagi, sekali gus mengisytiharkan hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpantang daripada makan minum dan kehendak nafsu.Hari kebesaran itu disyariatkan Allah kepada umat Islam untuk merayakannya dengan penuh kesyukuran.


Bagi masyarakat kita, hari raya itu digelar Aidilfitri atau Hari Raya Puasa. Dalam istilah Arab 'Idulfitri' iaitu rangkai kata 'id dan al-fitr. Kata 'id' (hari raya) berasal daripada perkataan 'aud' ertinya yang berulang-ulang, iaitu peristiwa berulang pada setiap tahun membawa rahmat dan menggembirakan umat Islam, manakala 'fitr' bermakna fitrah atau semula jadi.Semuanya termasuk bukan Islam bergembira kerana dapat menyambut hari raya, malah sebelum ketibaannya sudah ada yang bersiap sedia dalam segala aspek, tidak sabar menanti fajar heningnya menyinsing.


Dalam Islam cara untuk menyambut 1 Syawal juga diterangkan dengan menyeluruh sebagai panduan kepada umatnya, seperti menghiasinya dengan takbir (ucapan membesarkan Allah) dan tahmid (memuji Allah) sebagai menandakan kesyukuran.Satu hadis, daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w, bersabda, maksudnya: "Hiasilah hariraya kamu dengan takbir." (Riwayat Tabrani)Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya Ulumiddin, berkata takbir itu dimulai pada malam hari raya puasa sampai waktu mengerjakan solat.


Malam raya adalah antara malam yang diberkati. Daripada Abu Umamah r.a, daripada Nabi Muhammad s.a.w sabdanya: "Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang yang kufur ingkar) pada hari itu. (Riwayat Ibn Majah)Doa pada malam raya diperkenankan, sebagaimana jelas Imam Syafie dalam kitab Al-Umm: "Dinyatakan kepada kami, doa sangat mustajab pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, awal malam Rejab dan malam Nisfu Syaban."
Pada hari yang mulia itu Nabi s.a.w dan sahabat bertakbir, malah bersolat hari raya secara berjemaah.Menurut sebuah hadis (riwayat Nafi' dari Abdullah), Rasulullah s.a.w biasanya keluar pada pagi kedua-dua hari raya bersama-sama sahabat baginda sambil bertakbir beramai-ramai sepanjang perjalanan sehingga sampai ke tempat solat.Di antara sahabat baginda yang turut serta ialah Saidina Ali, Abdullah bin Abbas, Zaid bin Harithah dan kedua-dua cucu baginda, Saidina Hasan dan Hussain r.a.Begitulah caranya yang boleh dijadikan panduan bagi mereka yang menyambut hari raya sebagai ibadat. Tetapi yang mengikut adat, warna sambutannya sungguh berlainan sekali kerana yag penting ialah asalkan 'beraya sakan'.


Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zin, berkata beliau mengakui trend beraya sekarang ini lebih mirip kepada trend jahiliyah tanpa panduan ilmu.Menurutnya, apabila ramai orang jahil, mereka memperlakukan sesuatu itu mengikut selera bahkan tiba saja Syawal diri merasakan sudah bebas daripada disiplin sebulan Ramadan. "Bagi orang seperti ini dia berasakan puasa adalah sebulan, jadi raya juga sebulan dan kerana itu mereka beraya sakan," katanya.Jika mengikut ibadat, pada hari raya, umat Islam dianjurkan saling mengucapkan selamat dan tahniah kerana dapat menyempurnakan ibadat puasa pada Ramadan, berbaik sangka dan tidak keberatan memaafkan segala salah dan silap.


Seorang tabi'in, Jubair bin Nufair berkata: "Apabila sahabat Rasulullah bertemu pada hari raya, mereka mengucapkan tahniah di antara satu sama lain. Ucapan mereka bermaksud, mudah-mudahan Allah menerima daripada kami dan menerimanya daripada anda."Umat Islam digalakkan ziarah kerana dengan cara itu dapat mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan persaudaraan manakala bagi tuan rumah perlu bersikap rendah diri menerima tamu, menghormati dan melayan mereka sebaik mungkin.Rasulullah bersabda, bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya."Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturahim. Sesiapa beriman kepada Allah serta hari akhirat hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik, jika tidak hendaklah dia diam."Zamihan berkata, tidaklah salah untuk bergembira, berhias dan berbelanja pada hari raya, sesuai dengan hari kebesaran dan kemenangan, cuma biarlah ia secara sederhana.


"Sesiapa boleh berbelanja untuk menyambut raya, tetapi ukurlah kemampuan diri dan jangan sampai berhutang sehingga hari raya yang dinanti menjadikan suatu beban pula. "Berbelanja jangan sekali-kali mengikut nafsu, kerana buruk akibatnya manakala peniaga mulalah ambil kesempatan dengan pelbagai bentuk jualan murah," katanya, menasihati masyarakat Islam.Katanya, trend apabila hari raya semuanya mesti baru, bermula daripada aksesori pakaian sehinggalah kain langsir dan perabot yang baru juga sewajarnya dihentikan kerana merugikan sahaja. "Baju baru itu sunat sahaja. Yang penting bersih dan kebersihanlah yang dianjurkan Nabi s.a.w."


Demikian juga warna putih dan hijau adalah sunat dan jika tiada tidak mengapa, boleh beraya dengan gembira, tidak perlu bersedih dan rendah diri kerana yang penting bersih."Tetapi bagi orang yang beraya mengikut adat, tiada baju baru dan perabot baru seperti tiada makna raya baginya, malah berasa malu pula kerana pengaruh material dan tiada ilmu."Sedangkan pada zaman Nabi s.a.w dan sahabat, mereka tidak memandang material iaitu harta benda, namun mereka kaya dengan hati dan spritual."


Contohnya Saidina Ali, pada pagi raya menangis kerana insaf dan bersyukur, tetapi kita bermegah-megah dengan harta benda baru pula, manakala spritual kita begitu sempit dan miskin."Menyambut raya sebagai ibadat bukanlah bermaksud bersolat dan berzikir sepanjang hari, seolah-olah Islam menutup rapat pintu untuk berhibur. Sesiapapun boleh bergembira dan berhibur pada hari raya asalkan tidak terkeluar dari batas syariat.


Ini kerana Nabi s.a.w juga bergembira sebagaimana yang diperlihatkan kepada umatnya mengenai perilaku dirinya pada hari raya, seperti sebuah hadis diriwayatkan Aisyah, bermaksud: "Rasulullah masuk kepadaku dan di sisiku ada dua anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu'ats (lagu Arab). Lalu baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya."Kemudian Abu Bakar as-Siddiq masuk, lalu beliau mengherdikku dan berkata, seruling syaitan di sisi Nabi Muhammad. "Rasulullah s.a.w menghadap Abu Bakar, kemudian berkata, `biarkan mereka berdua." Mengikut hadis riwayat Hisham, baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, setiap kaum ada hari rayanya dan hari ini adalah hari raya kita."
sumber: Harian Metro, 18hb 2009

Sunday, August 30, 2009

Maksimakan Perolehan Untung Ramadhan




Bagi memastikan kesohihan puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-


1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Besahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana). Nabi SAW bersabda : " Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Muslim, 2/770).

Selain itu, Nabi juga bersabda : "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim). Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan).

Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).

Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.




3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa. Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.

4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.
Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaiaman di tegaskan oleh Nabi S.a.w :- ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar)

Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :- ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)

5) Memperbanykan doa ketika hampir berbuka
Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w : إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala wkatu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah ; Sohih)

6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.
Berdasarkan hadith Nabi SAW : لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957). Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib kita. Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).

7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk airأ
Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi) (Riwayat Abu Daud, 2/2356 : Hadith Hasan). Sambil membaca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله " Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah" Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah ular leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani). Atau doa-doa makan yang biasa.

9) Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi). Disebut dalam sebuah hadis lain ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga " (Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi, )

10) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih. Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.
11) Memperbanyakkan bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.

12) Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur
Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib). Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)

Thursday, August 27, 2009

ANDAI KU TAHU INI RAMADHAN KU YANG TERAKHIR




Wahai insan, renunglah engkau akan nasib diri
Wahai qalbu, sedarkah engkau akan gerak hati
Wahai aqal, terfikirkah engkau akan apa yang bakal terjadi

Andai ini merupakan Ramadhan ku yang terakhir kali
Buatku sekujur jasad yang bakal berlalu pergi
Tatkala usia bernoktah di penghujung kehidupan duniawi
Pabila tiba saat tepat seperti yang dijanji Ilahi
Kematian...adalah sesuatu yang pasti.....

Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu siangnya aku sibuk berzikir"a'la bizikrallahi tat mainnal qulub"
[Bukankah dgn berzikir itu hati akan menjadi tenang..]
Biarpun anak tekakku kering kehausan air
Tentu aku tak akan jemu melagukan syair
Rindu mendayu..
Merayu...
Kepada-NYA Tuhanku yang satu...

Andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu solatku dikerjakan di awal waktu
Solat yang dikerjai...
Sungguh khusyuk lagi tawadhu'
Tubuh, minda, dan qalbu...bersatu memperhamba diri
Mengadap Rabbul Jalil...
Menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekelian alam]

Andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
Tidak akan aku persiakan walau sesaat yang berlalu
Setiap masa tak akan dipersia begitu saja
Di setiap kesempatan juga masa yang terluang
Alunan Al-Quran bakal ku dendang...bakal ku syairkan

Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu malammu aku sibukkan dengan
Berterawih...Berqiamullail...
Bertahajjud...Mengadu...
Merintih...Meminta belas kasih....
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MUtapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"

Oleh itu duhai Ilahi...
Kasihanilah daku hamba-MU yang...
Hina..Dhaif
..Jahil..Lagi Banyak Dosa ini..
Menikmati bulan yg dirindui oleh nabi dan sahabatNya..
Moga setiap langkah ku zuhud kepada MU..
Moga ku istiqamah di ramadhan ini..

~ANDAI AKU TAHU INI RAMADHAN TERAKHIR…~

Thursday, August 20, 2009

PUASA YANG SEMPURNA

by: unit Penerbitan BKE


Agar sempurna puasamu, sesuai dengan tujuannya, ikutilah langkah-langkah yang berikut:

-Makanlah sahur, sehingga membantu kekuatan fizikalmu selama berpuasa: Rasulullah S.A.W bersabda: “ Makan sahurlah kalian, sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat berkat.”(HR ‘Al-Bukhari dan Muslim). “Bantulah (kekuatan fizikalmu) untuk berpuasa di siang hari dengan makan sahur, dan untuk solat malam dengan tidur siang”(HR. Ibnu Khuzaimah)


-Akan lebih utama jika makan sahur itu diakhirkan waktunya, sehingga mengurangi rasa lapar dan haus. Tetapi haruslah berhati-hati, supaya berhenti dari makan dan minum beberapa minit sebelum terbit fajar, agar tidak ragu-ragu waktu habis sahur. Segeralah berbuka jika matahari benar-benar telah tenggelam. Rasulullah SAW bersabda: “Manusia sentiasa dalam kebaikan, selama mereka menyegerakan berbuka dan mengakhirkan sahur.” (HR. Al-Bukhari, Muslim dan At-Tirmidz)


-Usahakan mandi dari hadas besar sebelum terbit fajar, agar boleh melakukan ibadah dalam keadaan suci.


-Manfaatkan bulan Ramadhan dengan sesuatu yang terbaik yang pernah diturunkan didalamnya, yakni membaca Al-Quran dan pada diri Rasulullah SAW ada teladan yang baik bagi kita. Sesungguhnya, Jibril A.S pada setiap malam di bulan Ramadhan selalu menemui Nabi SAW untuk membaca Al-Quran baginya. (HR. Al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas radhiallahu’anhu)


-Jagalah perilakumu dari berdusta, melakukan perkara yang tidak baik serta perkataan yang mengada-ngada(mengumpat). Rasulullah saw bersabda : “Barangsiapa tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta maka Allah tidak terima puasanya dari makan dan minum”.(HR. Al-Bukhari).



Tuesday, August 18, 2009

PERSEDIAAN MENJELANG RAMADHAN….

by: Unit Penerbitan BKE


1) Mengulangkaji setiap perkara yang berkaitan puasa seperti hukum berpuasa, adab berpuasa dan hikmahnya agar ia dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna.
2) Memperbanyakkan doa agar ditambahkan kekuatan, kelapangan dan kesempatan serta keikhlasan untuk menempuh Ramadhan.
3) Berdasarkan kisah sahabat, dinyatakan bahawa sahabat sentiasa berdoa menjelang Ramadhan.
4) Pertama, doa supaya Allah menerima ibadat puasa dan kedua pula doa memohon serta mengharap Allah memberikan kekuatan bagi mengerjakan puasa.
5) Mencegah diri daripada melakukan pembaziran seperti berbelanja lebih ketika berbuka
6) Kedatangan Ramadhan disambut dengan penuh keazaman unutk melipatgandakan amalan.
7) Mengetengahkan rasa senang dan gembira serta tahniah menjelang Ramadhan.
Inilah antara amalan menjelang Ramadhan dan sentiasa dilakukan Rasulullah saw serta sahabat ketika menyambut kedatangannya.
8) Hadis diriwayatkan bahawa Rasulullah sentiasa mngucapkan kata-kata semangat kepada sahabat dengan bersabda: “Sudah datang kepadamu bulan Ramadhan, penghulu segala bulan.”

AHLAN YA RAMADHAN...

by: Sufiy


Pejam celik pejam celik tanpa kita sedari kita sudah berada di akhir bulan Syaaban dan bakal bertemu bulan Ramadhan yang sangat kita rindui tidak lama lagi, semoga kita sempat sampai di bulan yang penuh barakah itu. Ahlan ya Ramadhan. Ramadhan menggamit kita, Ramadhan melambai kita... Mari bersama kita menyemarakannya. Jadikanlah seolah-olah Ramadhan ini Ramadhan yang terakhir buat kita... Justeru rebutlah dengan tawaran taqwa dari ALLAH...


"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa"
(Al-Baqarah: 193)

Rasulullah ketika menjelang Ramadhan akan mengingatkan para sahabatnya. Antaranya baginda menyampaikan khabar gembira kepada para sahabatnya dengan bersabda :" Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah memerintahkan kamu berpuasa di dalamnya. dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga, dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu malam..."

Jadi apa tunggu lagi, sama-samalah kita mengejar bulan Ramadhan ini. Mari kita meriahkan kedatanganya... Dakaplah Ramadhan dengan bersunguguh-sungguh... Hiasilah Ramadhan dengan wangian amal..

Sunday, August 16, 2009

PERKONGSIAN: Melawan nafsu dan syaitan



Selepas berlaku satu peperangan, Rasulullah s.a.w pernah berkata, “kita baru sahaja lepas daripada satu peperangan kecil.” Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w menjadi hairan lalu bertanya, “apakah perang kecil yang telah berlaku itu? Bukankah ramai jiwa yang melayang kerana peperangan itu ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab, ”ya, itu adalah satu peperangan kecil. Kita akan menghadapi satu peperangan yang lebih besar iaitu perang melawan hawa nafsu yang sentiasa menggoda diri”.

Seperti yang kita semua maklum, peperangan terhadap nafsu itu adalah peperangan besar dan lebih sukar kerana musuh yang diperangi itu tidak kelihatan. Ia berada dalam diri kita dan bila-bila masa sahaja boleh menyerang sekiranya kita lalai untuk mengawas dan mendidknya.

Fiman ALLAH s.w.t:
”sesungguhnya nafsu(mazmumah) itu sentiasa mengajak kepada kejahatan.”
(Yusuf: 53)



Jadi nafsu yang terletak di hati ini adalah musuh yang tidak berhenti-henti digunakan oleh syaitan untuk merosakkan manusia secara halus. Namun demikian, tidaklah bererti nafsu itu tidak berguna langsung kepada kita. Ia merupakan pendorong yang menggalakkan kita berusaha mencapai sesuatu matlamat. Kita sebagai manusia berusaha sedaya mungkin untuk mencapai matlamat dengan dorongan nafsu tadi. Matlamat pula, ada yang diredhai Allah dan pula yang tidak diredahi Allah.

Oleh hal yang demikian, kita sebagai hamba Allah hendaklah sentiasa mengendali nafsu agar sentiasa menurut jalan yang diredhai oleh Allah. Kita memohon kepada Allah s.w.t agar kita dibimbing-Nya ke jalan yang benar. Jika Allah tidak membimbing kita maka datanglah syaitan menggoda dan mempengaruhi kita

Firman ALLAH:
”sesungguhnya syaitan itu bagi manusia adalah musuh yang sangat nyata”
(Yusuf: 5)

Nafsu dan syaitan bekerjasama untuk merebut tempat di hati setiap manusia. Bila hati sudah ditawan, manusia bukan lagi mengikut jalan Allah dan Rasul tetapi mengikut kehendak nafsu dan syaitan. Itulah sebenarnya yang dicita-citakan oleh kedua-dua musuh batin ini. Mereka mahu mencorakkan hati manusia dengan sifat mazmumah, contohnya sombong, hasad dengki, ujub, riak, cintakan dunia, takut mati, dendam, tamak haloba, malas beribadah,dan banyak lagi.

Dengan itu, kita perlu mencari jalan untuk menewaskann rancangan jahat itu. Peperangan inilah yang dinamakan mujahadah atau melawan nafsu dan syaitan. Jalan untuk menewaskan syaitan ialah dengan cara menundukkan nafsu. Didik nafsu supaya ia tunduk dan patuh pada syariat Allah s.w.t.

Disebut di dalam kitab-kitab muktabar bahawa antara jalan untuk mendidk nafsu itu ialah dengan berlapar. Ini disabdakan Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

”perangilah nafsu kamu dengan berlapar dan dahaga kerana pahalanya adalah seperti orang yang berjihad di jalan Allah dan bahawa tidak ada amalan yang lebih disukai Allah selain daripada berlapar dan dahaga”




Oleh kerana susah dan berat melawan hawa nafsu maka hendaklah kita lakukannya dengan bersunguh-sungguh hingga lahir akhlak yang terpuji dalam diri kita. Insya-allah, dengan berjuang melawan hawa nafsu, membuat latihan-latihan jiwa dan kerohanian serta menambah ibadah sunat diharap dapat melahirkan sifat-sifat yang terpuji dan seterusnya membentuk sifat mahmudah dalam diri kita dan menjadi pakaian dan perhiasan diri kita sehari-hari.
~Mara mujahid dan mujahidah menuju Jannah~
~Buku: Penawar Bagi Hati~

Thursday, August 13, 2009

Tazkirah Remaja: Lima cara syukuri nikmat

By sufiy

KETIKA Saidina Umar al-Khattab mengerjakan tawaf di keliling Kaabah, beliau terdengar doa seorang lelaki. "Ya Allah masukkanlah aku dalam kumpulan orang yang sedikit." Terkedu juga Saidina Umar dengan doa yang agak ganjil itu.Biasanya manusia suka kepada kumpulan yang ramai. Malah, kita sendiri mahu mempunyai ramai kawan. Jika pengikut ramai, lagi kukuh dan gah kita. Tetapi lain pula halnya dengan lelaki terbabit. Apabila ditanya, rupanya lelaki itu menjelaskan begini: "Tidakkah tuan baca dalam al-Quran. Allah menjelaskan ayat yang bermaksud:...sedikit sahaja di kalangan hamba-Ku yang bersyukur..." Rupanya, dia berdoa supaya menjadi golongan orang yang bersyukur.Daripada ayat itu, memanglah Allah memberitahu kita sangat sedikit orang yang tahuberterima kasih dan bersyukur. Tersenyum Saidina Umar.

Sangat ramai di kalangan manusia sibuk berfikir bagaimana hendak mendapat yang diidamkan. Tetapi sangat sedikit manusia yang berfikir, bagaimana hendak bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan dengan apa yang dimiliki.Kita wajib bersyukur kerana dengan bersyukur kita mendapat jaminan pertambahan dan gandaan. Yang menjamin ini datang daripada Tuhan Yang Maha Kaya lagi Berkuasa iaitu Allah.Firman Allah bermaksud: "Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambah nikmat dan jika kamu kufur sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."Jika kita perhatikan, zaman sekarang mana ada yang percuma. Semuanya mesti dibayar, malah sikit-sikit bil, sikit-sikit bil. Lambat bayar kena amaran, lama-lama kena tindakan.




Tetapi Allah, Tuhan Yang Maha Kaya, boleh memberikan secara percuma tanpa bil seperti udara percuma, jantung percuma, mata dapat melihat tanpa bayaran, malah semuanya tidak kena bayar.Apabila dikenangkan kebaikan percuma, sepatutnya timbul rasa terima kasih dalam diri kita kepada pihak yang memberi itu iaitu Allah. Itulah namanya bersyukur.
Remaja yang sentiasa fikirkan kebaikan orang tuanya juga akan timbul di dalam dirinya rasa ingin membalas budi terhadap segala jasa dan pengorbanan mereka yang tidak terkira.Bersyukur itu sangat besar kedudukan dalam Islam. Tetapi jika tidak bersyukur jadi kufur. Oleh itu, marilah kita bersyukur.
Bagaimana bentuk syukur patut kita lakukan? Sebenarnya ada lima bentuk syukur nikmat perlu kita renungkan.Pertama: Yakinlah segala nikmat itu datang daripada Allah.Kedua: Apabila kita mendapat pujian kerana sesuatu kelebihan, pulangkan kepada Pemberinya iaitu Allah. Kalau kita cerdik, ucap saja 'alhamdulillah' (segala puji bagi Allah) kerana yang memberi otak dan kecerdikan ialah Allah.Ketiga: Terima kasih pada orang yang menjadikan penyebab nikmat. Bila cerdik kena syukur juga pada orang yang membantu kita cerdik seperti guru dan ibu ayah.Keempat: Jadikan segala nikmat diperoleh sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah. Jika kita mendapat anak misalnya, cara bersyukur ialah didik anak betul-betul hingga menjadi orang berguna pada agama, bangsa dan negara. Mereka yang menjadi guru dan mempunyai ilmu patut berkhidmat dengan ikhlas untuk umat.Kelima: Ceritakan nikmat anugerah Allah itu kepada orang lain. Memperlihatkan sebahagian nikmat adalah termasuk dalam erti kata syukur. Tetapi dalam bab ini, kita mesti berhati-hati, kerana dibimbangi mengundang riya'.

Sumber Harian Metro

Monday, August 3, 2009

Keperluan Ikhtilat


Apakah itu ikhtilat? Adakah lelaki langsung tidak memandang wanita dengan menundukkan pandangan sehingga hampir terlanggar tiang? Ketika berprogram, adakah harus diasingkan antara lelaki dengan perempuan supaya terjaga? Allah Maha Bijaksana menjadikan makhluk berpasang-pasang; lelaki dan wanita, bumi dan langit, siang dan malam, syaitan dan malaikat, gunung dan lembah, matahari dan bulan, begitulah seterusnya. Banyak hikmah dalam kejadian alam yang perlu direnung dan dijadikan bukti keagungan Allah. Satu contoh dalam kejadian manusia, Allah jadikan wanita bersifat lembut dengan nisbah 9/10 malu dan 1/10 akal, manakala lelaki 9/10 akal dan 1/10 malu.

Atas kelebihan akal inilah, Allah menjadikan kaum lelaki penjaga bagi kaum wanita. Begitu juga dalam apa jua masalah, Allah menyamakan 2 wanita dengan 1 lelaki; contohnya dalam hal penyaksian.Walaupun kurang berakal, namun wanita ada sifat malu. Kerana ada malulah, wanita dipandang mulia. Kalaulah wanita tiada malu, habislah dunia ini. Begitu juga lelaki, meskipun kurang malu namun mereka mempunyai akal yang dapat memikirkan kesan dan sebab-akibat sesuatu perkara. Kalaulah lelaki tiada akal, dunia akan jadi kucar-kacir. Begitulah kebijaksanaan Allah untuk menjaga keharmonian alam.


Namun apa dah jadi pada masa ini. Wanita sudah tidak ada perasaan malu lagi; bebas bergaul tanpa batas, bebas keluar hingga larut malam. Manakala lelaki pula sudah tidak menggunakan akal lagi malah merosakkannya pula. Fikirkanlah kesan buruk yang akan menimpa masyarakat jika fitrah kejadian ini sudah diabaikan.

Saya menyarankan ikhtilat adalah baik lelaki atau wanita, masing-masing tidak melayan perasaan sehingga menghanyutkan diri. Mereka jadi tidak tenang dan gusar, tidak melakukan apa-apa gerak kerja, ataupun jika dilakukan itu pun kerana si dia. Si lelaki tidak akan berjalan berdekatan si wanita, begitu juga tidak akan berjalan belakang si wanita. Ini sangat pantang. Jika mahu berjalan bersebelahan sekalipun, ia mesti dalam jarak yang jauh untuk menjaga perasaan. Si wanita tidak akan keterlaluan dalam melembutkan suara sehingga mampu menggoda dan meransang, dan tidak menunjukkan aksi-aksi yang boleh menimbulkan rasa yang kurang baik dalam hati wanita.

Kedua-duanya tidak akan tenggelam dalam percintaan sehingga bahasa SAYANG menguasai menyebabkan hidup tidak tenang dan tenteram. Ikhtilat dengan tidak berada berdekatan seperti berhadapan dengan secara dekat semasa mengadakan mesyuarat apatah lagi berpegangan tangan dan berjalan di waktu malam. Ikhtilat adalah SAD ZARAIE, satu kaedah pencegahan sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini berdasarkan slogan JANGAN SEKALI KAMU DEKATI ZINA.

Kenapa perlu si lelaki sentiasa bertemu si wanita atas alasan rindu dan sayang seolah-olah mereka tidak punya masa untuk mencurahkan rindu kepada Tuhan yang Maha Esa dan untuk perjuangan. Kenapa dihabiskan duit si dia terlalu banyak sedangkan duit untuk perjuangan langsung tidak dihulurkan. Saya mengingatkan kepada yang asyik bercinta. Bercinta harus, tetapi lemas haram. Bercinta harus, tetapi sekiranya anda makin hilang fungsi sebagai hamba, maka ia haram. Berhubungan dengan wanita, atau dengan lelaki, adalah dengan tujuan untuk saling lengkap-melengkapi dan untuk memudahkan urusan. Jika magnet itu teransang, maka salurlah dengan cara yang paling baik – yakni kahwin. Wanita yang sepatutnya malu dah tiada malu lagi; lelaki yang sepatutnya berakal dah hilangkan akal mereka.

Tuesday, July 21, 2009

PEMUDA DAN DAKWAH





Jika dilihat pada ‘product’ pemuda pemudi kita, sebenarnya boleh dibahagikan kepada beberapa kategori.

1. Golongan yang terus iltizam dengan kerja-kerja Dakwah & Tarbiyah.

2. Golongan yang sekadar hadir dalam aktiviti-aktiviti Dakwah & Tarbiyah.

3. Golongan yang tidak lagi ‘bersama kita’

4. Golongan yang melihat dan menilai kita lalu melihat terlalu banyak kelemahan yang ada pada kita lalu membentuk Toifah lain ( sisters/ liberal dsbg.) atau bergabung diri dengan Toifah lain.

Malangnya golongan pertama terlalu sedikit, mungkin segan kalau kita nak sebutkan tak sampai 10 peratus tetapi itulah hakikat yang terpaksa kita terima. Pemuda dan perubahan Sebenarnya penggerak Dakwah diperingkat awal pengutusan Rasulullah SAW kebanyakannya terdiri dari pemuda-pemuda contohnya: Saidina Ali, Mus,ab, Saidina ‘Uthman dan lain-lain.

Dakwah juga cepat diterima dan berkembang di Madinah dan hebat mendapat tentangan di Makkah juga kerana faktor pemudanya. Penduduk Makkah dikuasai oleh golongan tua yang sukar meninggalkan pegangan lama mereka. Manakala Madinah pula majoriti yang menguasainya adalah pemuda kesan dari peperangan antara puak Aus dan Khazraj yang berlangsung hampir 200 tahun yang telah mengorbankan ramai generasi tuanya dan meninggalkan pemuda-pemuda sebagai pewaris mereka.

Abdullah Nasih ‘Ulwan pernah menyebut:

“Di sebalik keagungan ilmu dan ketamadunan Islam, maka kita dapati generasi pemudalah yang dianggap telah memainkan peranan yang begitu hebat, hinggakan Keagungan Islam tercapai di tangan mereka. Niat mereka sungguh suci. Ketabahan hati mereka amat mengkagumkan sekali. Mereka tidak tertipu dengan kemewahan yang mereka perolehi di dunia ini. Mereka terus berusaha, bekerja dan berJihad untuk berdakwah ke jalan Allah, hatta tercapai segala hasrat dan cita-cita mereka yang suci murni itu...”


Dan beliau juga menyebut:

“Usaha dan Jihad pemuda-pemuda merupakan suatu tenaga yang paling berpotensi bagi mengatasi dan memecah sebarang masalah. Usaha ke arah Keagungan dan Kegemilangan akan terkabul di tangan-tangan pemuda-pemuda Islam, bukan di kalangan orang yang tidak bermaya lagi tidak berpotensi. Sebagaimana kita semua ketahui, bahawa angkatan pemuda adalah merupakan suatu tenaga yang utuh, teguh andainya mereka ini diasuh dan ditarbiyah dengan tarbiyah Islamiah, hingga jiwa-jiwa mereka ini penuh padu keimanan dengan Allah s.w.t. Berteraskan dengan keimanan yang tulin sahajalah kedudukan ummah ini dapat ditingkatkan sampai menjadi suatu ummah yang aman makmur.”

Pemuda dan kemudaannya. Berbalik kepada persoalan asas yang dibincangkan; kenapa begitu sedikit yang dapat terus istiqamah dengan kerja-kerja Dakwah & Tarbiyah. Persoalan ini mungkin terjawab dengan kita mengenali siapakah pemuda dan apakah pengisian yang sepatutnya berlaku pada tempoh umur ini.

Zaman muda ialah suatu zaman yang cukup bergejolak, agresiff, bertenaga, cita- cita yang tinggi, keazaman yang kental dan semangat yang membara. Inilah keadaan pemuda di setiap zaman. Namun yang berbeza mungkin persekitaran yang ada disekitar mereka.

Pemuda-pemuda kita hari ini tidak banyak terikat dengan tanggungjawab, membesar dalam kemewahan dan kesenangan hidup, segala yang dihajati dicapai dengan mudah. Mungkin inilah yang membezakan kita dengan pemuda-pemuda Kahfi, pemuda Madinah dan pemuda awwalun yang lain.

Dipimpin Atau Memimpin



Setiap individu yang berfikiran waras dan matang haruslah sentiasa bersedia dan kehadapan dalam isu-isu memilih pimpinan ini, mengenal seseorang pemimpin melaui sikap, kecenderungan dan kekuatan pemimpin itu haruslah menjadi salah satu resepi bagaimana seseorang individu menilai bakal pemimpin yang mereka inginkan.

Tidak kira siapapun, kita diberi Allah S.W.T kelebihan masing-masing, samada kita diberikan kuasa selaku pemimpin, kita harus adil kepada diri sendiri dan orang dibawah kita, samada kita selaku orang yang dipimpin kita punya hak untuk menjadi rakyat yang matang dan profesional dalam menilai pemimpin kita.

Samada DIPIMPIN atau MEMIMPIN semuanya harus kembali kepada ALLAH S.W.T, yang lebih MAHA BERKUASA kepada hambaNYA.

Ramuan Memilih Pemimpin


Ada yang mengatakan kita harus memilih pimpinan yang benar-benar mengikut ciri-ciri Muslim sejati dan “Perfect”, ada pula yang berpendapat seseorang pimpinan itu haruslah bijak pandai dalam pelajaran dan ada pula yang berpendapat pemimpin itu dipilih kerana hubungannya dengan rakyat bawahan serta macam-macam lagi kaedah yang begitu subjektif untuk kita membenarkan ia sebati dan sempurna bila diadun.

Bersikap adil pada kehendak sosial haruslah difikirkan dengan lebih terbuka dikalangan kita. Menjadi “Juri” merupakan salah satu pilihan yang harus dipilih oleh kita sebelum menjadi “Hakim” terhadap pimpinan yang bakal dipilih.

Keadaan masyarakat, suasana sosial, kehendak sekeliling haruslah diambil kira dalam menilai siapakah pimpinan yang bakal menerajui sesebuah oraganisasi itu.

Silap Memilih, Hancur Bersilih

Silap menilai untuk memilih pemimpin yang terbaik seringkali menjadi kesalahan utama buat kita. Kesannya cukup-cukup terasa bila anda berada disisi pimpinan. Inilah kesilapan yang benar-benar membuatkan sesebuah organisasi itu hancur bersilih ganti, bila “warisan” ini dikekalkan dan diturunkan ia tidak mampu menjanjikan sesuatu perubahan, malah ia “menjanjikan” satu keadaan yang amat kucar-kacir.

Kerana simpati dan menjaga dasar-dasar persahabatan yang ikatannya yang dikatakan lebih dari saudara, kita sanggup menggadai kepentingan sosial yang jauh lebih utama untuk difikirkan dan dek kerana kemahsyurannya, kita kehilangan dan seolah-olah buta melihat manusia lain yang jauh lebih berbakat dan dek kerana secubit jasa yang kita pernah terima, kita tertutup minda untuk menilai pimpinan yang kita pilih dengan lebih mendalam.

Ianya jadi beban, beban yang berat bagi mereka yang merasai. Tidak dinafikan ianya cukup-cukup susah dan kritikal untuk dinilai, namun ianya satu yang subjektif untuk kita kaji serta huraikan dengan lebih terperinci siapakah pimpinan yang bakal kita pilih dan ianya bukan objektif untuk terus kita tentukan.

Itu kelebihan perkara yang subjektif. Tidak perlu tepuk dada tanya selera. “ketuk hati dan akal, selera itu pelbagai-bagai”.

"Walk The Talk"

Penghayatan pada bicaranya dan bertindak mengikut bicaranya
kemudian merubah bermula dengan dirinya sendiri. Siapapun kita bila menjadi pemimpin, kaedah ini haruslah dijadikan sandaran yang terbaik dalam melaksanakan “kerja” yang diberi.

Kita haruslah berani untuk menjadi seorang yang mampu melaksanakan perubahan didalam organisasi yang diceburi. Bekerja di atas dasar “tradisi” membuatkan organisasi berada di tampuk yang lama. Statik dan susah berubah.

Berubah merupakan kunci yang cukup-cukup penting dalam sesebuah kepimpinan, ia juga merupakan salah satu perkara yang harus diambil kira oleh mereka yang dipimpin untuk merubah pimpinan yang benar-benar berjaya. Memilih pemimpin adalah kerana prinsip, falsafah dan nilai yang mereka perjuangkan untuk rakyat. Kuasa adalah amanah dan kuasa adalah tanggungjawab.

Sejarah Satu Pengajaran

Sejarah mendidik kita untuk jauh menilai sesebuah kepimpinan itu dengan lebih matang dan terbuka. Walaupun hanya diperingkat bawahan, namun nilai dan pengajaran dalam sejarah kepimpinan harus diambil kira dan dihayati.

Sejarah membuktikan keberjayaan sesuatu bangsa dan negara itu bukanlah hadir semata-semata kerana kemajuan dan kemodenan semata-mata, namun sikap moral dan sosial sesebuah bangsa yang dipimpin oleh pemimpin yang benar-benar berprinsip teguh yang menjadikan negara itu maju dan berjaya.

Apabila Saidina Abu Bakar Al-Sidiq dipilih menggantikan tampuk pemerintahan Rasulullah S.A.W, Saidina Abu Bakar berucap di tengah-tengah rakyatnya .
“Saya telah diangkat menjadi ketua saudara sekalian walaupun saya bukanlah orang yang terbaik di antara saudara. Sekiranya saya berbuat baik, berikanlah pertolongan kepada saya, dan sekiranya saya melakukan kesalahan, betulkanlah kesalahanku itu. Ikutlah saya selagi saya menuruti perintah Allah dan Rasulnya, dan sekiranya saya mengingkari (perintah) Allah dan Rasulnya, saudara sekalian tidaklah patut taat kepadaku lagi.”


Konsepnya cukup cantik dan sempurna. Rendah diri dan berpegang pada prinsip membuatkan pemimpin itu disegani rakyat dan disayangi, dek kerana keluhuran budi yang pemimpin itu miliki, negara yang asalnya “ARANG HITAM” bisa bertukar menjadi “BERLIAN MEWAH”.

Kita selusuri pula sejarah pemerintah-pemerintah yang digulingkan rakyat, semuanya kerana apa? Semuanya kerana kesalahan yang pemimpin itu sendiri tidak mampu selindungkan, dinaikkan hanya kerana kerana nama serta dilantik hanya kerana kemahsyuran, bukan pada prinsip, idea dan perjuangan demi rakyat.

Betapa hinanya Ferdinand Marcos di Filipina yang digulingkan melalui “kuasa rakyat” kerana kesilapannya menjadi pemimpin, beliau “diratah” rakyatnya kerana membencikan beliau dan inilah juga caranya Presiden Suharto terpaksa meletakkan jawatannya setelah dipaksa oleh protes popular rakyat Indonesia begitu juga kisah maharaja Syah di Iran yang dijatuhkan takhtanya akibat revolusi rakyat Iran, semuanya kerana apa?

Tanpa prinsip dan kebijakan bersosial, siapapun boleh jatuh. Kini kita sudah jauh dihadapan, warga muda haruslah memandang jauh kehadapan. Kualiti pemikiran kita yang benar-benar matang merupakan ukuran asas untuk kita menentukan dunia masa akan datang. Segala terletak di tangan kita dan di AKAL FIKIRAN kita. Tiada manusia yang sempurna, namun tidak salah mempelajari kesempurnaan. Sekadar sumbangan fikrah untuk dihayati dan didengari.

Monday, July 6, 2009

PEDOMAN :10 permintaan iblis

Iblis yang dilaknat Allah SWT terpaksa bertamu kepada Nabi Muhammad SAW untuk mendedahkan semua rahsia yang dikehendaki baginda.

Berikutan adalah bahagian akhir jawapan makhluk laknat kepada setiap soalan baginda Rasulullah SAW.

Nabi Muhammad SAW bertanya kepada iblis berapa yang dimintanya daripada Allah SWT.

Iblis menjawab 10 perkara lantas baginda bertanyakan apakah perkara berkenaan. Makhluk laknat itu menjawab: “Aku minta agar Allah SWT membiarkanku berbagi dalam harta dan anak manusia, Dia mengizinkan.

Allah SWT berfirman, “Berbagilah dengan manusia dalam harta dan anak dan janji mereka tidaklah janji syaitan kecuali tipu daya,”(Al-Isra:64).

Harta yang tidak dizakatkan, aku makan darinya. Aku juga makan dari makanan haram dan yang bercampur dengan riba. Aku juga makan dari makanan yang tidak dibacakan nama Allah SWT.

Aku minta supaya Allah SWT membiarkan aku ikut bersama dengan orang yang berhubungan dengan isterinya tanpa berlindung dengan-Nya maka syaitan ikut bersamanya dan anak yang dilahirkan akan sangat patuh kepada syaitan.

Aku minta supaya boleh ikut bersama dengan orang yang menaiki kenderaan bukan untuk tujuan yang halal.

Aku minta supaya Allah SWT menjadikan kamar mandi sebagai rumahku, pasar sebagai masjidku, syair sebagai Quranku, pemabuk sebagai teman tidurku dan memberikan aku saudara maka Allah SWT jadikan orang yang membelanjakan hartanya untuk maksiat sebagai saudaraku,” terang iblis kepada Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT berfirman: “Orang-orang boros adalah saudara-saudara syaitan,”(Al-Isra:27).

Iblis kemudiannya berkata: “Wahai Muhammad, aku minta supaya Allah SWT membuatku boleh melihat manusia sementara mereka tidak boleh melihatku.

Dan aku minta supaya Allah SWT memberiku kemampuan untuk menngalir dalam aliran darah manusia,” katanya.

Permintaan Iblis itu diperkenankan Allah SWT yang menjawab: “Silakan.

Iblis memaklumkan dia bangga dengan hal itu kerana sehingga hari kiamat, sebahagian besar manusia bersamanya di hari penentuan berkenaan.

Iblis lalu terus berkata: “Wahai Muhammad, aku tidak boleh menyesatkan orang ssedikit pun. Aku hanya boleh membisikkan dan menggoda.

“Jika aku boleh menyesatkan, tidak akan tersisa seorang pun yang beriman. Sebagaimana dirimu, kamu tidak boleh memberi hidayah sedikit pun.

Engkau hanya rasul yang menyampaikan amanah. Jika kau boleh member hidayah, tidak akan ada seorang kafir pun di muka bumi ini. Kau hanya boleh menjadi penyebab untuk orang yang telah ditentukan sengsara.

Orang yang bahagia adalah orang yang sudah ditulis bahagia sejak di perut ibunya dan orang yang sengsara adalah orang yang sudah ditulis sengsara sejak dalam kandungan ibunya,” katanya.

Rasulullah SAW lalu membaca ayat yang bermaksud: “Mereka akan terus berselisih kecuali orang yang dirahmati oleh Allah SWT,”(Hud:118-119).

Baginda juga membaca ayat bermaksud: “Sesungguhnya ketentuan Allah SWT pasti berlaku,”(Al-Ahzab:38).

Iblis lalu berkata:”Wahai Rasul Allah, takdir sudah ditentukan dan pena takdir sudah kering. Maha suci Allah yang menjadikanmu pemimpin para nabi dan rasul, pemimpin penduduk syurga dan yang sudah menjadikan aku pemimpin makhluk celaka serta penduduk neraka.

Aku si celaka yang terusir. Ini yang terakhir yang ingin aku sampaikan kepadamu dan aku tidak berbohong,” luah iblis laknat.

(sumber:-hmetro)

Saturday, July 4, 2009

Rejab : Pengertian, Peristiwa Penting & Amalan


Penerbitan Semula


Pengertian

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj.


Peristiwa Penting


1.Hijrah Pertama Hijrah ke Habsyah (Ethiopia)

Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.


2. Isra' dan Mi'raj

Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT. Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.

Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari semuanya itu. Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.(Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan)


3. Perang Tabuk

Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.


4. Pembebasan Baitul-Muqaddis

Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.


5. Lahirnya Imam Syafie RH.

Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.


Amalan

Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis shahih. Penulis berpendapat ada hikmahnya kenapa Allah SWT, Rasulullah SAW dan para sahabat RA tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya menetapkan ibadat-ibadat tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj itu.

Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan (bid'ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab. Pendapat ini adalah bersandar kepada hadis-hadis lemah.

Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang umum yang masih kita belum berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan al-Mubarak. Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa Isnin dan Khamis, tadarrus al-Qur'an dan lain-lain lagi. Di sini penulis ingin menyarankan agar pada akhir bulan Jamadilakhir khasnya pada 29 Jamadilakhir, kita bolehlah melatih mata kita untuk menjejaki hilal. Proses melatih mata untuk merukyah hilal boleh dimulakan 20 minit sebelum Maghrib sehinggalah 20 minit selepas maghrib dengan memerhatikan ufuk Barat sekitar tempat matahari terbenam. Ini boleh dilakukan dengan mata kasar tanpa menggunakan sebarang alat kecuali untuk melihat matahari perlukan penapis (solar filter).

Bagi mereka yang mempunyai teleskop atau teodolite ataupun binocular, inilah masanya untuk menguji peralatan dan kemahiran masing-masing agar pada hari cerapan hilal Sya'ban, Ramadhan dan Syawal kita tidak menghadapi masaalah dalam melakukan cerapan hilal. Dan sebenarnya Rasulullah SAW sendiri amat mengambil berat tentang kedudukan bulan pada setiap akhir bulan khasnya apabila menjelangnya bulan Rejab dan bulan-bulan seterusnya.
Sumber Disediakan oleh: Bahagian Falak dan Sumber Maklumat Jabatan Mufti Negeri Melaka
http://www.al-azim.com/