Thursday, February 25, 2010

SIRAH 5:Pemergian Rasulullah S.A.W.



Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah:


“Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Ku wariskan dua perkara pada kalian, Al Qur’an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku.”


Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya.Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

“Rasulullah akan meninggalkan kita semua,”keluh hati semua sahabat kala itu.

Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya didunia.Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar.Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup.Sedang didalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.

“Bolehkah saya masuk?” tanyanya.Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk,“Maafkanlah, ayahku sedang demam,” kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah,“Siapakah itu wahai anakku?”“Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,” tutur Fatimah lembut.

Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

“Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut,” kata Rasulullah.


Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya.Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan Kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya.Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

“Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?”Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.“Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu.Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,” kata Jibril.
Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

“Engkau tidak senang mendengar khabar ini?” Tanya Jibril lagi. “Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?”“Jangan khawatir, wahai Rasul Allah. Aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: ‘Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,” kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik.

Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.


“Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.”

Perlahan Rasulullah mengaduh.Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

“Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?”Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.“Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal,” kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

“Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.”

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi.Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya.

“Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.”

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan.Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

“Ummatii, ummatii, ummatiii?” – “Umatku, umatku, umatku”

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.Kini, mampukah kita mencintai sepertinya?



Allahumma sholli ‘ala Muhammad wa baarik wa salim ‘alaihi


Betapa cintanya Rasulullah kepada kita…

Wednesday, February 24, 2010

SIRAH 4:Rasulullah SAW dan Pengemis Yahudi Buta


Di sudut pasar Madinah Al-Munawarah seorang pengemis Yahudi buta hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya ia selalu berkata "Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya". Setiap pagi Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapi makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah SAW melakukannya hingga menjelang Beliau SAW wafat. Setelah kewafatan Rasulullah tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu.


Suatu hari Abu bakar r.a berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.ha. Beliau bertanya kepada anaknya, "anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan", Aisyah r.ha menjawab pertanyaan ayahnya, "Wahai ayah engkau adalah seorang ahli sunnah hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja". "Apakah Itu?", tanya Abu bakar r.a. Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke ujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana", kata Aisyah r.ha.


Keesokan harinya Abu bakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abu bakar r.a mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepada nya. Ketika Abu bakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, "siapakah kamu ?". Abubakar r.a menjawab, "aku orang yang biasa". "Bukan !, engkau bukan orang yang biasa mendatangiku", jawab si pengemis buta itu. Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu ia berikan pada ku dengan mulutnya sendiri", pengemis itu melanjutkan perkataannya.


Abu bakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, aku memang bukan orang yang biasa datang pada mu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW. Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu bakar r.a. ia pun menangis dan kemudian berkata, benarkah demikian?, selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia.... Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadah dihadapan Abu bakar r.a.
~ya Rasulullah...kami merinduimu~

Sunday, February 21, 2010

SIRAH 3:Qudwah Rasulullah S.A.W


Qudwah di dalam dakwah dan tarbiyah merupakan cara yang paling berkesan, yang paling dekat dengan kejayaan. Sesungguhnya prinsip-prinsip Islam akan lebih mudah diterima apabila para da’i lebih dahulu melaksanakannya berbanding mad’u.Rasulullah s.a.w merupakan suatu gambaran yang hidup bagi mempelajari Islam di dalam setiap perkara.

Manusia melihat Islam itu sendiri pada diri Baginda s.a.w. Beliau merupakan qudwah yang paling agung di dalam sejarah insan seluruhnya. Jiwa-jiwa manusia bergerak mengikut kadar usaha melaksanakannya dan beramal dengannya.

Diantara contoh qudwah pada peribadi Rasulullah s.a.w yang paling jelas adalah akhlak Baginda sebelum diutuskan sebagai Rasul. Beliau dikenali sebelum risalah dengan gelaran al-amin (yang sentiasa berkata benar). Kaum Baginda tidak pernah mengenali Baginda berbohong. Ketika Saidatina Aisyah ditanya tentang akhlak Rasulullah s.a.w beliau menjawab:

“Kana khuluquhul quran (Akhlaknya adalah Al-Quran)” dan “ Kana sollahahualaiwasallam quranan yamsyi alal ard ( Rasulullah s.a.w adalah Al-Quran yang berjalan diatas muka bumi ini) ”

Sebelum Baginda mengeluarkan suatu arahan atau seruan kepada manusia Baginda akan terlebih dahulu melaksanakan perkara tersebut. Didalam sirah Rasulullah s.a.w terdapat banyak peristiwa yang mempersaksikan perkara tersebut. Diantaranya adalah kisah ketikamana telah tamat perjanjian Hudaibiyah diantara Muslimin dan Quraisy, kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa golongan muslimin akan kembali ke Madinah pada tahun ini tanpa menunaikan umrah dan akan kembali pada tahun hadapan. Maka Rasulullah s.a.w menyuruh para sahabat untuk menyembelih korban dan bertahallul daripada ihram. Maka Baginda s.a.w bersabda :
“Bangunlah, sembelihlah korban dan bercukurlah”. Tetapi para sahabat bermalas-malasan untuk melaksanakan perintah tersebut kerana syarat perjanjian tersebut tidak memihak kepada mereka.
Maka Rasulullah s.a.w masuk bertemu isteri Baginda Ummu Salamah r.a dalam keadaan marah dan menceritakan apa yang berlaku. Maka Ummu Salamah r.a mencadangkan kepada Rasulullah s.a.w supaya segera melaksanakan arahan tersebut di hadapan mereka. Maka Rasulullah s.a.w melaksanakannya dengan mencukur kepala Baginda dan menyembelih korban. Dengan perbuatan Rasulullah s.a.w tersebut para sahabat berlumba-lumba untuk melaksanakan arahan tersebut.

Antara contoh yang jelas juga daripada sirah Rasulullah s.a.w adalah peristiwa membina masjid. Baginda s.a.w turut sama bekerja bersama para sahabat menggali dan memindahkan tanah serta mengangkat binaan. Dalam peristiwa perang Khandak, Baginda s.a.w turut sama menggali parit disekeliling Madinah bagi menghalang tentera Ahzab memasuki Madinah. Rasulullah s.a.w bersama-sama menggali lubang dengan tangan Baginda, memikul tanah di atas peha. Apabila mereka ditimpa masalah, Rasulullah s.a.w akan membantu mereka mencari penyelesaian.

Semua perkara ini menolak para sahabat untuk terus beramal, menguatkan himmah dan azam mereka. Perasaan malas dan tidak bermaya akan hilang dari diri mereka kerana mereka melihat pimpinan mereka Rasulullah s.a.w bersama mereka di dalam parit yang sama, bekerja sepertimana mereka, makan dan minum dan tidur seperti mereka. Perkara tersebut menambahkan lagi keimanan dan keislaman mereka.

Firman Allah s.w.t : “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” (Surah Al-Ahzab : 21)

Ayat ini merupakan dalil untuk umat Islam mengikut jejak langkah Rasulullah s.a.w dalam setiap perkataan dan perbuatan Rasulullah s.a.w. Dengan ini Allah s.w.t menyuruh golongan muslimin untuk mencontohi Rasulullah s.a.w pada peperangan Ahzab. Bagaimana kesabaran Baginda , ikatan, mujahadah dan cara Baginda s.a.w menunggu pertolongan daripada Allah s.w.t.

Sesungguhnya Allah s.w.t telah mempersaksikan akhlak Rasulullah s.a.w dalam setiap urusan kehidupan Baginda s.a.w. Firman Allah s.w.t :

“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Surah Al-Qalam : 4).

Dengan itu Allah s.w.t telah menjadikan Rasulullah s.aw sebagai teladan yang baik untuk manusia keseluruhannya. Baginda s.a.w membawa contoh yang baik dalam setiap perkara samada percakapan atau perbuatan.

Faktor yang memberi kesan yang paling besar kepada perkembangan Islam pada zaman Rasulullah s.a.w, para sahabat dan salafussoleh adalah qudwah yang baik dan akhlak yang mulia yang menyentuh hati para mad’u. Akhlak ini terpancar pada setiap sudut kehidupan mereka samada di medan jual beli, medan peperangan dan lain-lain. Ketika jual beli perniagaan akan dijalankan dengan benar dan amanah. Contoh ketika peperangan adalah muamalat yang baik dengan para tawanan perang, tidak membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua dan paderi. Akhlak-akhlak tersebut menolak manusia untu berfikir tentang agama yang baru yang dianuti oleh umat Islam. Dan biasanya tindakan tersebut akan diakhiri dengan memeluk agama Islam dan perasaan cinta untuk mempelajarinya, serta menyemai persaudaraan diantara muslimin.
Mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman kepada terhadap junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W...

KURINDU RASULULLAH..(Lagu alangkah indahnya hidup ini)


Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu
Kan pasti mengalir air mataku
Kerna pancaran ketenanganmu

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kukucup tanganmu
Moga mengalir keberkatan dalam diriku
Untuk mengikut jejak langkahmu

Ya Rasulullah Ya Habiballah
Tak pernah kutatap wajahmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kami rindu padamu
Allahumma Solli Ala Muhammad
Ya Rabbi Solli Alaihi Wasallim ( 2X )

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kudakap dirimu
Tiada kata yang dapat aku ucapkan
Hanya tuhan saja yang tahu

Kutahu cintamu kepada umat
Umati kutahu bimbangnya kau tentang kami
Syafaatkan kami
Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu

Kan pasti mengalir air mataku
Kerna pancaran ketenanganmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Terimalah kami sebagai umatmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kurniakanlah syafaatmu

Friday, February 19, 2010

SIRAH 2: Perjalanan Hidup Rasulullah...

Penurunan Wahyu Pertama
Pada usia 40 tahun, Muhammad telah menerima wahyu yang pertama dan diangkat sebagai nabi sekelian alam. Ketika itu, baginda berada di Gua Hira' dan sentiasa merenung dalam kesunyian, memikirkan nasib umat manusia pada zaman itu. Maka datanglah Malaikat Jibril menyapa dan menyuruhnya membaca ayat Quran yang pertama diturunkan kepada Muhammad.
"Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan"
(Al-'Alaq, 96: 1)
Rasulullah pulang dengan penuh rasa gementar lalu diselimuti oleh Khadijah yang cuba menenangkan baginda. Apabila semangat baginda mulai pulih, diceritakan kepada Khadijah tentang kejadian yang telah berlaku.

Dakwah Secara Sembunyi
Kemudian baginda mula berdakwah secara sembunyi-sembunyi bermula dengan kaum kerabatnya untuk mengelakkan kecaman yang hebat daripada penduduk Makkah yang menyembah berhala. Khadijah isterinya adalah wanita pertama yang mempercayai kenabian baginda. Manakala Ali bin Abi Talib adalah lelaki pertama yang beriman dengan ajaran baginda.
Dakwah yang sedemikian berlangsung selama tiga tahun di kalangan keluarganya sahaja.

Pada peringkat permulaan dakwah, Rasulullah saw telah berdakwah kepada orang yang baginda rasa telah bersedia untuk menerima Islam, tanpa mengira umur, kedudukan, bangsa, atau tempat. Baginda tidak pernah melakukan diskriminasi, baginda mengajak manusia tanpa ada pilih kasih dan memerhatikan kesediaan mereka untuk menerima aqidah Islam. Ramai yang telah beriman dan memeluk aqidah Islam.

Baginda bersungguh-sungguh untuk mentarbiyah (mendidik dan membentuk) pemeluk-pemeluk Islam dan menyempurnakan tsaqafah mereka mengenai agama Islam, disamping mengajarkan Al-Quran kepada mereka. Sahabat-sahabat ini telah membentuk satu kumpulan dan seterusnya berganding bahu dalam menyebarkan dakwah Islam. Jumlah mereka semakin meningkat melebihi 40 orang, yang dianggotai oleh lelaki dan perempuan, mereka datang dari pelbagai lapisan masyarakat, dan kebanyakan daripada mereka usianya masih setahun jagung.

Dakwah Secara Terang-terangan
Setelah turunnya wahyu memerintahkan baginda untuk berdakwah secara terang-terangan, maka Rasulullah pun mula menyebarkan ajaran Islam secara lebih meluas.
"Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik." (Al-Hijr, 15:94.)
Namun begitu, penduduk Quraisy menentang keras ajaran yang dibawa oleh baginda. Mereka memusuhi baginda dan para pengikut baginda termasuk Abu Lahab, bapa saudara baginda sendiri. Tidak pula bagi Abu Talib, dia selalu melindungi anak saudaranya itu namun dia sangat risau akan keselamatan Rasulullah memandangkan tentangan yang hebat dari kaum Quraisy itu. Lalu dia bertanya tentang rancangan Rasulullah seterusnya. Lantas jawab Rasulullah yang bermaksud:

"Wahai bapa saudaraku, andai matahari diletakkan di tangan kiriku dan bulan di tangan kananku, agar aku menghentikan seruan ini, aku tidak akan menghentikannya sehingga agama Allah ini meluas ke segala penjuru atau aku binasa kerananya"

Baginda menghadapi pelbagai tekanan, dugaan, penderitaan, cemuhan dan ejekan daripada penduduk-penduduk Makkah yang jahil dan keras hati untuk beriman dengan Allah. Bukan Rasulullah sahaja yang menerima tentangan yang sedemikian, malah para sahabatnya juga turut merasai penderitaan tersebut seperti Amar dan Bilal bin Rabah yang menerima siksaan yang berat.
Kewafatan Khadijah dan Abu Talib
Rasulullah amat sedih melihat tingkahlaku manusia ketika itu terutama kaum Quraisy kerana baginda tahu akan akibat yang akan diterima oleh mereka nanti. Kesedihan itu makin bertambah apabila isteri kesayangannya wafat pada tahun sepuluh kenabiaannya. Isteri bagindalah yang tidak pernah jemu membantu menyebarkan Islam dan mengorbankan jiwa serta hartanya untuk Islam. Dia juga tidak jemu menghiburkan Rasulullah di saat baginda dirundung kesedihan.
Pada tahun itu juga bapa saudara baginda Abu Talib yang mengasuhnya sejak kecil juga meninggal dunia. Maka bertambahlah kesedihan yang dirasai oleh Rasulullah kerana kehilangan orang-orang yang amat disayangi oleh baginda

Mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman kepada terhadap junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W...

Wednesday, February 17, 2010

SIRAH 1: Kelahirannya Membawa Rahmat

Ditengah- tengah masyarakat Jahiliyah yang penuh dangan kegelapan, lahirlah seorang insan yang bakal membawa perubahan besar kepada sejarah peradaban manusia. Baginda Rasulullah dilahirkan pada Tahun Gajah, iaitu tahun di mana Abrahah Al Asyram telah melanggar masuk ke kota Makkah dalam rangka percubaannya hendak menawan dan memusnahkan Al - Kaabah. Namun percubaan mereka menemui kegagalan yang amat pahit di mana Allah Subhanahu Wata'ala telah mengutuskan sekumpulan Burung- Burung Ababil mencedera dan memusnahkan angkatannya. Keterangan ini telah dijelaskan dalam Al- Quran dengan jelas sekali,

1. Tidakkah Engkau mengetahui Bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? 2. Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka Dalam keadaan Yang rugi dan memusnahkan mereka? 3. Dan ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung yang berpasukan, 4. Yang melontar mereka Dengan batu-batu dari sejenis tanah Yang dibakar keras, 5. Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu Yang dimakan ulat. (Al - Fiil: 1-5)

Megikut pendapat yang paling hampir dengan kenyataan, baginda dilahirkan pada hari isnin tanggal 12 (dua belas) haribulan Rabi'ul Awal

Baginda adalah anak yatim ketika dilahirkan. Ayahandanya, Abdullah bin Abdul Mutallib telah wafat ketika baginda baru dua bulan dalam kandungan ibunya. Ibunya bernama Aminah binti Wahab. Setelah lahir baginda dipelihara oleh datuknya 'Abdul Muttalib yang kemudian disusukan kepada seorang perempuan dari puak Sa'd Bakr yang bernama Halimah binti Abi Zuwaib. Ini adalah mengikut adat resam orang-orang 'Arab di kala itu.

Pada ketika itu, kampung Bani Sa'd mengalami kemarau yang teruk. Sesampai sahaja Muhammad Sallahu 'alaihi Wasallam ke rumah Halimah dan menyusu darinya ketika itu juga keadaan pun berubah. Kampung yang dulunya kering tandus mulai menghijau, kambing ternakan yang dahulu kelaparan kini bila kembali dari ladang ternakan kelihatan riang dan uncang - uncang susunya penuh dengan susu.

Semasa dalam jagaan ibu susuannya, baginda pernah dibedah perutnya. Ketika itu baginda baru berusia lima tahun. Dalam kitab Hadith muslim yang bermaksud,

Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam telah didatangi Jibril ketika Baginda sedang bermain-main dengan sekumpulan kanak-kanak. Jibril 'alaihi salam merebahkan dan membelah betul-betul dengan hati dan mengeluarkannya kemudian dikeluarkan seketul darah sambil berkata, inilah sasaran syaitan ke hati engkau. Lepas itu dibasuhnya di dalam tas dari emas dengan air zam-zam barulah dimasukkan semula ke tempat asalnya dan kanak - kanak yang lain berkejaran lari menemui ibu penyusunya Halimah melaung-laung; "Muhammad telah dibunuh!" dan mereka semua meluru ke arah Nabi Muhammad dan didapati pucat lesu.

Selepas itu, baginda dihantar kembali ke pangkuan ibunya. Namun, bondanya wafat ketika baginda berusia enam tahun. Ini menjadikan baginda seorang yatim piatu pada usia yang amat muda. Dengan itu, maka datuknya pula yang mengambil peranan mendidik Rasulullah Sallahu 'alaihi Wasallam tetapi tidak berapa lama kemudian datuknya pula meninggal dunia. Masa itu baginda berusia lapan tahun dan dipelihara pula oleh bapa saudaranya Abu Talib.

KEHIDUPAN RASULULLAH SAW BERSAMA ABU TALIB

Dalam usia dua belas tahun bapa saudara baginda membawa bersama-samanya ke Syam(Syria). Ketika mereka sampai di suatu tempat yang dikenali dengan "Basra", mereka telah bertemu dengan seorang paderi yang bernama Buhaira. Beliau memerhatikan Rasulullahu alaihi Wasallam dan lantas bertanya "Budak ini anak tuan hambakah? lantas dijawab oleh Abi Talib "Kenapa tidak! Budak ini anakku." Oleh kerana Abu Talib terlalu kasih dan sayang kepada Rasulullah sejak dahulu lagi maka beliau menyebut Rasulullah sebagai anaknya. Kemudian Buhaira menegaskan; "Bapa budak ini tidak mungkin masih hidup." Abu Talib menjawab, "Sebenarnya budak anak saudaraku, bapanya meninggal ketika ia masih dalam kandungan ibunya". Paderi menambah, "Memang benar apa yang engkau ceritakan kerana segala-galanya tercatat dalam Injil dan di sini saya ingin menasihati kamu supaya segeralah engkau membawanya pulang sebab kalaulah orang-orang Yahudi ternampak, nescaya mereka akan mengancam nyawanya kerana anak saudaramu ini di masa muka nanti akan membawa suatu perkara besar dan agung". Maka Abu Talib membawa Rasulullah SAW pulang ke Makkah semula.

Pada usia remaja, Rasulullah SAW menternak kambing sebagai mencari rezeki yang halal. Amat mudah untuk Allah menjadikan Nabi Muhammad SAW serba ada namun hikmah illahi menunjukkan kepada kita bahawa sebaik-baik harta ialah hasil dari perusahaan sendiri demi untuk kebaikan masyarakat dan manusia seluruhnya dan seburuk-buruk kesenangan ialah kemewahan yang diperolehi tanpa kesusahan yang langsung tidak memberi sebarang sumbangan kepada masyarakat.

Allah telah mengawal dan mengawasi zaman remaja Rasulullah SAW. Oleh itu baginda tidak menyeleweng seperti pemuda- pemuda lain. Rasulullah SAW pernah bercita - cita hendak ke majlis keramaian dan bunyi-bunyian namun Allah telah menulikan baginda sehingga menyebabkan baginda terlena sampai ke siang. Peristiwa ini berlaku sebanyak dua kali. Begitulah Allah SWT memelihara dan memaksumkan baginda SAW dari melakukan kekejian dan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.

Rasulullah SAW amat menyintai umatnya..
Namun, bagaimana cinta kita kepada Rasulullah??

Monday, February 15, 2010

AURAT: Kewajipan yang dipersendakan

Karya Pilihan

" Maka Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya .." Al-A'raf : 20)


Ringkasnya, antara tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita untuk menutup aurat adalah :-


a) Perbezaan dengan binatang.


Allah SWT berfirman :


" Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan" ( Al-A'raf : 26)


Amat jelas dari ayat ini, penutupan aurat ditujukan kepada sesiapa sahaja yang termasuk dalam kategori anak Adam iaitu manusia. Justeru barangsiapa yang berpaling dari arahan ini, secara langsung ia menjatuhkan tahapnya selari dengan binatang yang tiada cukup kemampuan dan aqal bagi menjalankan arahan penutupan aurat.


b) Agar kaum wanita tidak disakiti

Ia berdasarkan ulasan yang telah buat sebelum ini bersandarkan firman Allah SWT dari surah Al-Ahzab ayat 59.


c) Tanda atau seperti uniform kepada penganut agama Islam.

Ia juga boleh difahami dari surah Azhab ayat 59 tadi apabila Allah SWT menyebut : « .. yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam).. »

Dari sini jelas, menunjukkan salah satu fungsi tutupan aurat juga adalah sebagai syiar diri sebagai penganut Islam. Firman Allah : « Barangsiapa yang membesarkan syiar Allah maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati »


d) Tanda profesionalism dalam sistem pemakaian Islam. Kita dapat memerhati bagaimana ‘trend' sesebuah organisasi atau restoran hebat hari ini pasti meletakkan ‘dress code' tertentu bagi kakitangannya dan para tetamunya. Ia pastinya bertujuan penjagaan standard khas bagi organisasi dan restoran itu di tahap tertentu. Sebagai contoh, kita tidak akan dapat melihat individu berselipar Jepun di sebuah Persidangan Antarabangsa di PICC, Putrajaya mahupun di kalangan kakitangan PETRONAS di pejabat mereka di Menara Berkembar. Semua menjaga ‘standard' berbanding Tauke kedai runcit yang tidak beruniform.

Justeru, Islam adalah satu agama dan cara hidup yang profesional pastinya begitu lengkap menyediakan panduan melengkapi setiap sudut kehidupan manusia. Dari hal-hal yang sulit seperti urusan di dalam tandas hinggalah ekonomi dan kenegaraan. Walaupun demikian, Islam tidak mengarah umatnya membuat perkara yang tidak rasional, justeru, sudah tentu ‘standard' pemakaian yang diletakkan ini tidak membebankan bahkan ia amat bertepatan dengan logik aqal manusia yang sihat.


e) Sebagai ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan mereka kepada Allah SWT.

Saya kira hal ini amat jelas, dari firman Allah ertinya : Dijadikan hidup dan mati adalah untuk menguji siapakah yang terlebih baik amalannya" (Al-Mulk : 2)


DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER


Ungkapan ini kerap saya dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.


"Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi" Katanya memberi buah fikirannya.


"Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok" tambah wanita ini lagi.


Benarkah hujjah mereka?. Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujjah dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sohih iaitu :


"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim)


Simpati bercampur kesal saya mendengar bagaimana terdapat orang yang sewenangnya berhujjah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.


"Seorang pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan, lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu"


Lalu jawab si pekerja : " Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang"


Adakah anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu ?. Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintahNya ?


Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan RasulNya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata. Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :


"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim)


Berdasarkan hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti sekadar menunjuk-nunjuk sahaja.

Justeru, 'we can judge a book by its cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person'.

Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith :


إنما أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض , فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع له قطعة من النار


Ertinya : Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka jangalah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka" (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )


Hadith ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.


Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendapat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW


من سن في الإسلام سنة سيئة فعليه وزرها ووزر من عمل بها من غير أن ينقص شيئاً


Ertinya : Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.." ( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )


Termasuklah dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik ? setelah gunungan dosa mengaratkan hatinya ?.


Sesungguhnya Allah itu maha adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya. ?

Sunday, February 7, 2010

Zikir mampu mengubat penyakit hati...


SABDA Rasulullah SAW: “Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak daging itu, maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diri manusia terbahagi kepada dua iaitu fizikal dan spiritual. Spiritual termasuk akal, nafsu, perasaan dan yang paling utama ialah hati kerana tindakan, perbuatan, perilaku dan sikap seseorang dipengaruhi olehnya.

Sifat hati pula terbahagi empat iaitu kebuasan, kebinatangan, kesyaitanan dan ketuhanan. Tiga sifat pertama terbabit pula bukan mudah untuk dibuang, malah akibat daripada itu ramai umat Islam kecundang hingga akhirnya melakukan dosa besar.

Manakala sifat terakhir iaitu ketuhanan saja yang akhirnya mampu membawa kita ke jalan benar dan diredai Allah SWT, tetapi bukan mudah melakukannya kerana hanya yang benar-benar mahu berubah mampu melaksanakannya.

Secara umumnya, untuk membersihkan hati yang kotor, kita hendaklah membiasakan diri dengan berzikir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT.

Hati juga boleh diubati dengan mengamalkan beberapa perkara iaitu membaca al-Quran dan memahami serta mentadabbur maksudnya, meningkatkan amalan solat sunat pada waktu malam dan banyakkan menangis bertaubat kepada Allah SWT, berkawan dengan orang soleh juga alim ulama.

Selain itu, amalan lain ialah membiasakan diri dengan berpuasa sunat, kerap berzikir waktu siang atau malam serta sentiasa mengingati mati.

Penyakit paling berbahaya bagi hati ialah menyekutukan Allah SWT dengan yang lain, mendustakan kebenaran, hasad dengki terhadap sesama manusia, benci, dendam, bongkak, sombong, angkuh dan pelbagai lagi.

Lawan daripada menyucikan atau membersihkan hati ialah mengotorinya. Seseorang yang beriman hendaklah selalu mengutamakan kebersihan luaran juga dalaman diri kerana kekotoran akan membuka segala pintu kejahatan.

Contoh bukti kekotoran jiwa ialah perbuatan kaum Thamud yang tidak mengutamakan nilai-nilai budi dan kesopanan, meminum arak, malah melakukan zina secara terang-terangan.

Renungi firman Allah SWT dalam Surah al-A’raaf, ayat 179: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati tetapi tidak mahu memahami dengannya ayat-ayat Allah.

“Dan yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya bukti keesaan Allah dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya ajaran dan nasihat, mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai.”


Sabda Rasulullah s.a.w...
Bahawa hati itu berkarat seperti karatanya besi, lalu orang bertanya, " wahai Rasulullah bagaimana membersihkannya?"
Rasulullah mnjawab:
...membaca al-Quran dan mengingati mati...
sumber: Harian metro

Thursday, February 4, 2010

Tazkirah Remaja: SOLAT...5 jenis solat

SUDAH lama kita bersolat, tetapi nampaknya keajaiban dan jaminan solat yang disebut Allah masih samar-samar dalam kehidupan kita.

Allah memberi jaminan dalam firman-Nya, bermaksud: “Sudah pasti berjaya orang mukmin iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun: 1,2)

Pada pertemuan kali ini, penulis mengajak remaja dan siapa saja bermuhasabah mengenai peringkat solat. Bukannya konsep kejayaan dan cara hendak mencapai khusyuk, tetapi ada beberapa jenis dan golongan serta gaya bersolat di kalangan orang Islam yang semuanya akan mempengaruhi perangai dan cara hidup.

* Jenis Pertama
Hari ini, ramai umat Islam yang tidak bersolat, bahkan ramai juga yang tidak tahu hendak bersolat. Ada yang menafikan kewajipan solat, mereka jatuh kafir sebab itu kadangkala perangainya dengan si kafir tidak ada beza.

* Jenis Kedua
Orang yang melakukan solat secara zahir saja, malah bacaan pun masih tidak betul, taklid buta dan main ikut-ikut orang lain.

Jadi, golongan ini sekejap bersolat, sekejap tidak. Jika ada masa dan emosi baik, dia bersolat. Kalau sibuk dan ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, dia tidak bersolat.

Orang ini jatuh fasik. Tidak belajar solat mahupun secara rasmi atau tidak rasmi. Ilmu mengenai solat ialah apa yang dipelajari ketika kecil dan tadika saja. Golongan ini tertolak, bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaan derhaka kepada Allah.

* Jenis Ketiga
Golongan yang melakukan solat cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan solat, Fatihah, doa Iftitah dan tahiyatnya, tetapi tidak dihayati dalam solat itu. Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia tanpa menghayati solat. Golongan ini dikategorikan sebagai solat ‘awamul Muslimin’ dan jika dididik serta ditambah mujahadah (kesungguhan), dia akan berjaya dalam solat.

* Jenis Keempat
Golongan ini baik sedikit daripada golongan sebelumnya, tetapi main tarik tali dalam solatnya.

Sesekali dia khusyuk, sesekali lalai pula. Apabila teringat sesuatu dalam solatnya, teruslah terbawa-bawa, berkhayal dan seterusnya.

Apabila teringat Allah secara tiba-tiba, insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hati serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimah dan bacaan dalam solat. Begitulah sehingga selesai solatnya.

Peringkat ini orang terbabit akan mula memasuki zon ‘memelihara solat’, tetapi masih belum seronok dengan solat.

* Jenis Kelima
Golongan yang melakukan solat tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz dalam solatnya.

Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekeliling sehingga pekerjaan serta apa pun yang dilakukan atau difikirkan di luar solat itu tidak mempengaruhi so latnya.

Walaupun dia memiliki harta dunia, menjalankan kewajipan dan tugas keduniaan seperti perniagaan, semua itu tidak mempengaruhi solatnya. Hatinya masih dapat memuja Allah dalam solat. Golongan ini disebut orang soleh.

Sebenarnya banyak lagi peringkat solat, tetapi keterbatasan ruangan sekadar lima tahap ini rasanya sudah boleh mu hasabah diri mengenai tahap solat yang kita lakukan. Jika kita berada di peringkat satu, dua dan tiga, kita sebenarnya belum selamat dan mungkin solat tidak mampu mendapat jaminan Allah.

Ibadat solat boleh membangunkan jiwa dan iman, men jauhkan daripada yang buruk dan merungkai mazmumah (sifat keji), menanamkan mahmudah (sifat terpuji), me lahirkan disiplin hidup dan akhlak yang agung. Semoga solat kita akan berlangsung sebagai mi’raj.

Sesungguhnya yang pertama kali di hisab bagi seseorang hamba di hari kiamat dari amal-amalnya ialah solatnya, jikalau solatnya itu adalah baik maka dia termasuk dalam orang yang bahagia lagi beruntung dan jikalau amal solatnya rosak maka dia termasuk orang yang rugi dan tidak beruntung... (Hadith riwayat Imam al-Tirmidzi)